KUCHING: Sarawak akan mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
Ini bagi memberikan lebih banyak masa kepada ahli dewan untuk membincangkan perkara berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata permintaan tersebut disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong yang membangkitkan keperluan untuk perbincangan lebih mendalam mengenai isu-isu utama.
“Tahun lalu, kita menerima permintaan untuk elaun tambahan.
“Tetapi kali ini, kita sedang meneliti kemungkinan untuk melanjutkan tempoh persidangan bagi ahli-ahli dewan. Oleh itu, saya serahkan kepada Tuan Speaker (Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar) untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Malam Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hotel di sini, malam ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut memuji sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh semua ahli dewan sepanjang persidangan DUN kali ini.
Katanya, walaupun masa terhad, namun setiap ahli dewan menunjukkan kebolehan tinggi dalam menguruskan masa dengan berkesan, menjadikan persidangan lancar.
“Kita mengadakan sesi yang serius dan konstruktif, tidak seperti di tempat lain … kekecohan sering berlaku,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis GPS Backbenchers Night merangkap ADUN Machan, Allan Siden Gramong.